BLOGGER TEMPLATES AND Friendster Layouts »

Dari aku

Monggo mampir..... ada berita yang ingin disampaikan, ada cerita yang ingin dikongsi, ada maklumat yang mungkin berguna atau mungkin sekadar sembang-sembang kosong mengisi masa lapang dari catatan aku yang berada di kampung buat sahabat dan teman-teman diperantuan. Semoga dalam kesibukan kerja seharian dapat sejenak melepas kerinduan.

Jumaat, 16 April 2010

Kisah Tanah Lot Lagi

Masih menjadi topik perbualan hangat di kedai kopi, kali ini berkisar tentang kedudukan lot-lot yang telah masing-masing diperolehi. Apa tidaknya ada yang amat berpuas hati dengan lot tanah yang mereka perolehi ada pula yang amat tidak berpuas hati dengan tanah yang mereka perolehi. Bukan mudah untuk memujuk mereka yang tidak berpuas hati dengan kedudukan tanah yang mereka perolehi itu maklumler ada yang berhampiran dengan tanah wakaf, ada yang terletak di cerun yang curam dan ada yang terletak didalam gaung. Gaung? Ntah gaung mana agaknya. Aku pun tak tahu macam mana nak memperjelaskan kepada orang yang sengaja tidak mahu faham.Tapi aku paling sakit hati bila ada diantara batu-batu api yang cuba untuk mengelirukan pemohon dan akhirnya menyebabkan perasaan mereka berbelah bagi dan fikiran mereka berkecamuk.
Halooo, beb ni bukan zaman kita pegang cangkul dan garpu untuk menimbus lubang apatah lagi untuk menimbus gaung atau menarah bukit. Inilah masanya kita buktikan yang melayu itu bermuafakat. Mana bidalan yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing, hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicicah atau hanya omongan kosong atau sekadar bidalan yang telah lapuk dek kerana hujan dan yang lekang dek kerana panas. Lebih parah yang menjadi batu api ni adalah dikalangan yang bergelar peneroka. Ibarat api didalam sekam, membarah didalam dan merosakkan. Sepatutnya berilah sokongan, dorongan dan peluang kepada mereka merencana masa depan mereka sendiri. Ada pula pemohon yang takut dengan momokan orang al maklumlah lot yang didapati berdekatan dengan tanah perkuburan.
Kepada pemohon yang telah mencabut undi, kitalah yang menentukan hala tuju kita sendiri. Namun perlu diingat kita bukanlah hidup sendirian dan kita tak akan mampu untuk membangunkan tanah itu sendirian. Perlu ada muafakat. Kita tidak boleh senyum seandainya lot yang kita dapati itu terletak di kawasan yang tinggi dan kita tak perlu risau jika lot yang kita dapati itu berdekatan dengan gaung. Yang duduk diatas bukit perlu menolak tanah dan yang digaung memerlukan tanah. Sebenarnya kita saling memerlukan demi untuk satu tujuan - membina tapak rumah.
Apapun yang kita rancangkan tidak mungkin menjadi kenyataan seandainya premium gagal kita jelaskan dalam masa yang ditetapkan. Ingatlah peluang tak selalu datang dan peluang yang datang teramat rugi jikalau dipersiakan kerana ianya takkan mungkin datang kembali. Kepada teman-teman janganlah kecewa sekiranya tidak mendapat apa yang diidamkan. Ayuh kita terus sama-sama usahakan sehingga berjaya dan akan lebih manis sekiranya kejayaan itu dapat dikongsi bersama.

0 ulasan: