BLOGGER TEMPLATES AND Friendster Layouts »

Dari aku

Monggo mampir..... ada berita yang ingin disampaikan, ada cerita yang ingin dikongsi, ada maklumat yang mungkin berguna atau mungkin sekadar sembang-sembang kosong mengisi masa lapang dari catatan aku yang berada di kampung buat sahabat dan teman-teman diperantuan. Semoga dalam kesibukan kerja seharian dapat sejenak melepas kerinduan.

Isnin, 24 Mei 2010

Isnin 25 may 2010

Lama aku tak update blog ni, nak kata sibuk tak jugak, nak kata tak sibuk tak sempat plak. Walau bagaimanapun hari rabu lepas pentarama oleh kumpulan pentarama dari kementerian penerangan telah mengadakan persembahan di kampung ini. Dahulu pementasan sebegini dikenali sebagai pentas bergerak yang dipersembahkan oleh kumpulan kebudayaan felda yang kemudiannya dikenali sebagai kumpulan seni felda atau "kusni felda". Seingat aku antara artis yang pernah sama-sama mengikuti rombongan tersebut termasuklah Datuk Ahmad Nawab, AR Badul, R Jaafar, Mak Minah Ketot dan ramai lagi. Masuk tahun lapan puluhan aku sudah tidak mendengar lagi acara seumpama itu di kampung aku ni.

Pemangku Ketua Kampung Sdr. Wagiman menyampaikan ucapan


Pada asalnya, tempat yang ingin kami tempatkan pentas ini ialah dikawasan tapak perniagaan kampung ini, tetapi keadaan permukaan tar yang tidak rata akan menyulitkan krew untuk melaras kedudukan pentas. Untuk memudahkan semua pihak, maka acara tersebut dipindahkan ke kawasan dataran belia.


Apa yang menarik sewaktu perbualan dengan ketua rombongan pentarama semasa meninjau tapak, beliau bertanyakan sekiranya ada dikalangan penduduk tempatan yang berkebolehan menyanyi bersama "live band" untuk diberikan peluang membuat persembahan. Sudah semestinya aku ada dua tiga nama yang boleh diajukan namum kemudiannya salah seorang dari rombongan tersebut mencelah kalau-kalau ada band dikalangan anak tempatan yang boleh ditonjolkan. Dari segi pertimbangan aku sekiranya diberikan kepada penyanyi sudah tentunya ianya sering dipertontonkan semasa pertandingan karaoke dan tidak begitu menarik perhatian penonton tetapi sekiranya diberikan kepada band yang terdiri dari anak-anak muda kampung ini sudah pastinya lebih menarik. Aku lantas menalipon Bro Arez kalau-kalau dia berminat dan alhamdulillah beliau beretuju. Persembahan beliau bersama kumpulannya mengkagumkan penonton ynag hadir. Tahniah untuk mereka.

Kumpulan The Daw membuat persembahan

Pada hari tersebut juga pihak Rela Kulaijaya telah mengadakan pendaftaran ahli dan aku kira sambutannya boleh dikatakan hangat juga. Kepada yang memohon untuk menjadi anggota Rela adalah diharapkan tidak hanya rela mengisi borang tapi harus juga rela apabila dipanggil bertugas. Tahniah juga kepada anggota polis dari Pondok Polis Bukit Permai Sdr. Maskam dan Sdr. Basri kerana tiada kejadian yang tidak diingini berlaku umpamanya kekecohan mahupun pecah rumah sepanjang acara tersebut berlangsung.

Seterusnya pada hari Sabtu 22 hb. telah diadakan hari kesihatan anjuran bersama GPW , klinik desa Felda Bukit Permai dan Pejabat Kesihatan Daerah Kulaijaya. Sambutannya amat menggalakkan. Antara pemeriksaan yang dibuat termasuklah tekanan darah, kadar gula, berat badan ideal dan pap smear. Aturcara pagi dimulakan dengan acara j-robik/poco-poco dan diikuti dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak tadika. Ceramah berkaitan dengan denggi serta pencegahannya dan diselangi diselangi dengan kuiz. Anugerah warga emas sihat turut diadakan. Majlis tersebut dirasmikan oleh Tn Hj. Zainal Bin Lateh pengurus rancangan Felda Bukit Permai.

Pada 23hb. pula diadakan gotong royong perdana mencegah denggi bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kulaijaya. Setiap rumah dibekalkan dengan plastik hitam dengan harapan masing-masing mengambil tanggungjawab untuk membersihkan rumah sendiri dari menjadi sarang pembiakan nyamuk. Lori-lori disediakan untuk memungut sampah dari rumah-kerumah untuk dikumpulkan di kawasan pengumpulan sampah di setiap blok.

Adalah diharapkan kempen sebegini dapat dimanfaatkan oleh setiap warga Felda Bukit Permai dan diteruskan dari semasa ke semasa dan tidak hanya ketika kempen dilakukan.

Isnin, 10 Mei 2010

Sikap

Semua orang ingin maju, semua orang inginkan kemajuan, inginkan pembaharuan. Masing-masing berlumba merebut setiap peluang yang ada. Ada juga yang tidak berminat untuk merebut peluang yang ada tapi lebih berminat untuk mencipta ruang dan peluang sendiri. Namun masih ada lagi yang tidak berbuat apa-apa, peluang yang datang dibiarkan berlalu pergi ruang yang ada tidak di isi. Bukan tidak tahu tetapi tidak mahu.

Dalam mengejar kemajuan perlu ada sesuatu yang kita korbankan. Sama ada pengorbanan itu perlu dilakukan yang menjadikan kita terpaksa atau sesuatu itu terkorban lantaran sikap kita. Beberapa hari yang lalu hati aku cukup panas dek sikap segelintir pemandu premix konkrit yang terbabit dalam projek membina sekolah. Cukup mudah mereka membersihkan lori mereka setelah selesai menuang premix konkrit tanpa menghiraukan kesan akibat sikap dan perbuatan mereka. Bak kata perumpamaan, seperti enau didalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Pada mereka apa yang penting kerja mereka selesai tak kira bagaimana mereka lakukan.


Ambil jalan mudah, asal pekerjaan sendiri selesai

Selesai sahaja mereka menuangkan bancuhan konkrit, mereka meningalkan tapak projek lalu berhenti dimana yang mereka suka dan seterusnya membersihkan sisa-sisa konkrit yang tertinggal dengan menuangkannya diatas jalanraya. Apa yang lebih membimbangkan sisa-sisa berkenaan dituangkan berhampiran dengan persimpangan. Cuba kita bayangkan keadaan simpang tiga yang dipenuhi dengan pasir serta kerikil kecil bukankan boleh mendatangkan kecelakaan kepada pengguna jalanraya. Apabila ditegur mereka buat tak kisah seolah-olah tiada apa salahnya perbuatan mereka itu. Mungkin sikap sebegini juga yang mereka amalkan ketika memandu. Dengan lori yang besar itu mereka merasakan seolah-olah jalanraya mereka yang punya.

Taburan kerikil kecil dan pasir membahayakan keselamatan pengguna jalanraya

Yang hairannya apabila mereka berada atau menjalankan projek di kawasan bandar tidak pula merea berani berbuat sedemikian rupa. Apabila ditegur bermacam alasan diberikan. Mungkin dalam benak pemikiran mereka di kampung tidak ada penguatkusa yang boleh mengambil tindakan dan tidak ada apa yang perlu ditakutkan maka mereka boleh berbuat sesuka hati mereka. Inilah realiti masyarakat kita hari ini dalam menjaga kepentingan kita, kita terlupa atau sengaja memiggirkan keperluan untuk sama-sama menjaga kepentingan orang lain.