BLOGGER TEMPLATES AND Friendster Layouts »

Dari aku

Monggo mampir..... ada berita yang ingin disampaikan, ada cerita yang ingin dikongsi, ada maklumat yang mungkin berguna atau mungkin sekadar sembang-sembang kosong mengisi masa lapang dari catatan aku yang berada di kampung buat sahabat dan teman-teman diperantuan. Semoga dalam kesibukan kerja seharian dapat sejenak melepas kerinduan.

Isnin, 18 Julai 2011

Terima kasih kepada semua

Satu pagi minggu sewaktu bersarapan di warung Sahar aku berborak dengan Jai. Lama tak update blog katanya. Heh heh memang dah lama aku tak buat posting kat blog ni. Idea tak berapa nak datang kot. Senarai JKKK pun aku tak kemaskini. Haji Satari telah dilantik secara rasmi menjadi ketua blok bagi Kampung Baru 1 manakala Haji Muhamad Saad dilantik menjadi ketua blok bagi Kampung Agas. Sdr. Zakaria Kalid masih kekal memegang jawatan Pengerusi Biro Pendidikan.

Alhamdulillah, minggu lalu hari yang ditunggu telah pun tiba dan berjalan lancar walaupun pada petang Jumaat sebelumnya cuaca hujan namun pada hari berlangsungnya program cuaca amat baik. Bukan maksud aku mengatakan hujan itu tidak baik cuma cuaca yang cerah itu sesuai untuk menjalankan aktiviti luar seperti yang dirancangkan.



Kini hampir seminggu berlalu, namun laman FB warga Felda Bukit Permai masih meriah dengan gambar-gambar dan komen-komen berkenaan hari peneroka . Tak sangka cubaan jawatankuasa penganjur untuk mengubah format program sebelah malam dariapada acara karaoke seperti kebiasaannya kepada acara pertunjukan bakat (talentime) boleh dikatakan amat memuaskan. Perubahan format ini dilakukan bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai warga Bukit Permai mengambil bahagian kerana sekiranya acara karaoke dijalankan hanya segolongan warga yang terbabit. Pesertanya pula tidak banyak beza dengan setiap tahun dan lebih mendukacitakan kemenagan juga boleh diramal. Apa yang lebih penting sekiranya lebih ramai peserta yang mengambil bahagian dengan tidak secara langsung akan menarik lebih ramai warga Bukit Permai untuk keluar memberi sokongan.



Pelbagai ragam persembahan yang dipertontonkan antaranya nyanyian lagu kuda hitam diiringi dengan tarian kuda kepang oleh kampung tengah 1, sketsa dan boria irama 60an oleh kampung tengah 2, persembahan oleh kampung agas dengan peralatan muzik yang pelbagai antaranya besin, baldi, jidur mengiringi persembahan nyanyian dan gelek Kamal, persembahan sketsa dan sajak oleh Kampung Baru 1 dan pertama kalinya warga emas seperti Hj. Satari yang juga merupakan ketua blok kampung tersebut turut mengambil bahagian dalam program sebegini. Kampung Baru 2 tidak kurang hebatnya dengan persembahan beramai-ramai dan sememangnya ramai kerana penuh satu pentas termasuk juga MC pada malam tersebut Sdr. Eddy turut berlari kepentas untuk turut bersama kampunya. Kampung Gajah 1 yang merupakan pemenang pertama pada malam tersebut sememangnya tidak boleh dipertikaikan dengan pelbagai persembahan tarian almaklumlah guru tarian zapin orang kampung tu. he he...



Kampung Gajah 1 tak mahu kalah memang lain dari yang lain persembahan biasa tetapi dibuat berbeza kerana orang perempuan melakonkan watak lelaki dan orang lelaki melakonkan watak perempuan dan diikuti dengan persembahan sajak. Kampung Balairaya walaupun cuma miming tetapi menghiburkan dengan gelek Kang Leman bersama Julie membawakan lagu Sohaimi Mior Hasan dan Ana Rafali - Kalau Berpacaran. Terkekeh-kekeh adik-adik kat depan pentas menonton aksi setan berbaju merah berwajah lonjong. Tak takut pon.... bako dia bako.....



Program kali ini juga julung-julung kalinya kerja-kerja persediaan dan perjalanan program diserahkan kepada blok-blok untuk dilaksanakan. Alhamdulillah setiap blok memberikan komitmen yang baik kepada tugasan yang diberikan. Insya Allah selepas ini sekiranya Bukit Permai diberikan tugasan untuk menganjur program yang lebih besar penduduknya telah cukup sedia.



Pertandingan khemah kampung masih boleh diperbaiki. Apa yang JKKK dan pengurusan harapkan sebenarnya setiap blok mengambil peluang ini untuk memperkenalkan produk-produk keluaran kampung masing-masing untuk dipamerkan. Khemah ini juga sepatutnya dibuka kepada semua pengunjung kerana tujuan utamanya untuk mempamer, memperkenal serta menjual produk keluaran ahli dan bukan hanya dibuka kepada tetamu undangan sahaja. Biarlah susah payah kita menghias khemah ada manfaatnya dan tidak hanya untuk mendapat hadiah itupun sekiranya bernasib baik dan kemudian bersusah payah pula untuk mengemasnya tanpa mendapat apa-apa hasil darinya. Biarlah kita kalah tetapi kita dapat memperkenalkan hasil usaha ahli kita dan keuntungannya lebih bersifat berpanjangan.



Seperti biasa acara sukaneka sememangnya ditunggu-tunggu. Bukanlah hadiah yang dikejarkan kerana hadiah yang disediakan tidaklah seberapa. Apa yang lebih penting ialah persefahaman dan kerjasama kita antara ahli blok dan warga Bukit Permai keseluruhannya dapat kita eratkan. Biarlah kita seronok bila menang dan seronok juga bila tengok orang lain menang. Tidak ketinggalan acara tarik tali tak sangka pulak kampung aku Kg. Tengah 2 jadi juara. Lama tak menjerit sampai serak suara aku dibuatnya. Hu hu dapat ayam sepuluh ekor sumbangan Amat Kopak.



Ketibaan YB Kamaruzaman dengan menaiki motorsikal berkuasa tinggi bersama rombongannya dari Putra Bikers memang tidak aku jangkakan dan tidak dimasukkan dalam aturcara. Mungkin kerana menaiki motorsikal rombongan beliau tiba lebih awal dari yang dijadualkan. Mujur juga terdapat kawasan yang sememangnya dikosngkan ditengah-tengah dataran maka dapatlah mereka meletak motorsikal mereka di situ. Mujur juga YB tidak terlalu formal pada hari tersebut dan segalanya dapat disusun semula termasuk acara tarik tali antara juara tarik tali dengan ahli Putra Bikers. He he minta maaf jer lah kita orang mengelat sikit.... tak aci ler orang dah tarik banyak kali suruh lawan ngan orang yang lom tarik... Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Kulaijaya selaku wakil rasmi Pegawai Daerah dan Penghulu Mukim Sedenak En. Hamdan Yahya.



Majlis yang ditunggu-tunggu iaitu pengumuman pemenang pertandingan AKKF yang dijuarai oleh Kampung Gajah 2, Naib Johan Kampung Balairaya dan Ketiga Kampung Gajah 1. Tahniah. Majlis berakhir sekitar jam 7.00 petang.



Terima kasih kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung juga kepada penderma-penderma yang telah menyumbangkan hadiah dan hamper cabutan bertuah. Tidak lupa kepada kawan-kawan yang sama-sama menyumbang tenaga secara sukarela. Tanpa sokongan dan bantuan semua kita tidak akan dapat menjalankan program seperti yang dirancangkan. InsyaAllah tahun hadapan jika ada kesempatan kita sama-sama rancangkan program yang lebih baik lagi.



Terima kasih semua.

Rabu, 9 Februari 2011

Sambutan Maulidur Rasul Kg. (F) Bukit Permai

Alhamdulillah, seperti tahun-tahun sudah apabila menjelangnya bulan Rabiul Awal, Kg. (F) Bukit Permai juga tidak ketinggalan untuk sama-sama memperingati hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Majlis kali ini dianjurkan oleh Badan Masjid Kg. (F) Bukit Permai dengan kerjasama JKKK kampung. Majlis akan bermula seawal jam 8.15 pagi dan dijangka berakhir pada 12.30 tengah hari.
Beberapa aktiviti sesuai dengan sambutan telah diarancangkan antaranya pertandingan berzanji, pertandingan marhaban, perarakan dan pertandingan sepanduk. Pertandingan berzanji terbahagi kepada dua bahagian iaitu lelaki dan perempuan. Penyertaan seboleh-bolehnya terdiri dari kalangan generasi kedua. Tujuan pertandingan ini adalah untuk menyemarakkan kembali tradisi yang semakin dilupakan ini. Pertandingan marhaban pula akan dikendalikan oleh GPW. Setiap blok diwajibkan menghantar penyertaan.
Bagi menyerikan lagi majlis setiap blok diwajibkan menghantar bunga telur bertujuan untuk diberikan kepada tetamu-tetamu yang hadir pada hari berkenaan.
Berikut adalah aturcara bagi program berkenaan.
16 hb. Februari : Pertandingan marhaban antara blok (2.00 petag)
19 hb. Februari : Pertandingan berzanji (Selepas solat Isya')
20 hb. Februari
8.00 pagi : Berkumpul di perkarangan klinik kesihatan
8.15 pagi : Perarakan bermula
9.00 pagi : Bacaan Al-Quran dan terjemahannya
Bacaan berzanji
Marhaban
Ucapan Pengerusi Sambutan
Ucapan Ketua Kampung
10.30 pagi : Ceramah Mauldur Rasul
oleh Ustaz Hamizi Bin Sayuti
11.30 pagi : Jamuan
12.30 tgh. : Bersurai
Semua dijemput hadir bukan hanya sekadar unuk memeriahkan majlis tapi apa yang lebih penting bagi sama-sama memperingati sejarah kelahiran serta perjuangan Rasulullah SAW .

Ahad, 30 Januari 2011

Kalau hujan aku cuti la......

Musim tengkujuh menjengah lagi. Kali ni giliran Johor pula. Tidak ketinggalan kampung aku juga dilanda hujan yang berterusan semenjak 3 hari lalu dan semalam aku rasa yang paling lebat. Mana taknya seharian aku berkaraoke didalam hujan. Nasib baik bukan aku yang nyanyi. Kalau aku nyanyi dah tentu diorang cakap aku yang panggil hujan tu. Nak ditambah haru lagi air menitik dari jahitan kanvas. Terpaksalah set tu aku kelambukan menggunakan kanvas. Speaker awal-awal lagi aku dah pakaikan jaket. Tak kisah ler kalau dia terkena hujan. Cuma yang masih bernasib baik angin tak begitu kuat, tak ler aku kena selimutkan set tu semua. Tapi yang pasti aku sendiri dah kesejukkan, nak bercakap pun malas, aku mainkan lagu terus sampai Pak ALi datang. Biasa la bila Pak ALi datang dia keluarkan CD dengan thumb drive dia. Lagu 60an dengan lagu ghazal. Ada juga dua tiga orang member yang nak menyumbang suara antaranya Ijan, Min dan Meler. Lepas tu Aisah lak nyanyi. Tak tahu nak pilih lagu.... aku setkan lagu penasaran...... hu hu dangdut dalam hujan beb....

Pukul 5 petang selesai tugas aku, aku kemas barang-barang tu dalam hujan. Nak tunggu hujan reda, nampak gayanya memang takkan reda dalam jangka waktu yang terdekat. Dalam sibuk mengemas tu abang aku talipon, tanah runtuh di jalan masuk utama semakin teruk manakala paras air di kampung Murni Jaya, kampung Sungai Besoi dan Sungai Siam telah naik. Bermakna jalan utama ke Pekan Layang-layang telah dinaiki air. Sibuk mengemas speaker yang besar gedabak tu terlepas.... gedebuk jatuh betul-betul kat ujung jari kaki aku.... aduss.... tapi aku tahan...... ramai orang tengah tengok tu.... buat tak tau jer...... angkat balik speaker macam takder apa-apa berlaku..... padahal jari tu dah berdenyut-denyut kesakitan..... nasib baik tak der luka... kalau tak buleh jadi cagu tu......

Selesai mengemas dan parking kereta aku dalam kedai aku ajak Uri yang kebetulan sedang lepak-lepak di kedai D'Mart meninjau keadaan tanah runtuh. Memang seperti yang diberitakan tebing jalan tersebut telah teruk terhakis akibat hujan lebat. Untuk keselamatan kami meletakkan kon supaya kenderaan tidak lalu di jalan yang bersebelahan dengan tebing berkenaan. Apa yang di dirisaukan kawasan berkenaan gelap pada waktu malam kerana tidak ada lampu jalan di situ. Alhamdulillah pada sebelah malamnya pihak Selia Selenggara telah menambah bilangan kon serta memasang tanda amaran di kawasan berkenaan. Jadi kepada pemandu-pemandu harap dapat memperlahankan kenderaan anda semasa menghampiri kawasan berkenaan kerana sebelah jalan telah ditutup.

Tebing tanah yang menggelongsor


awas separuh jalan ditutup

Pagi ini hujan masih berterusan dan urusan kerja aku terus tertangguh. Masuk hari ni sudah 5 hari kerja-kerja meracun tidak dapat dilakukan. Mungkin esok atau lusa hujan ni akan berhenti. Selepas mengeteh di kedai kak Ani aku ronda sekejap dengan Getok tengok keadaan banjir, nampaknya air dah semakin surut. Balik ronda aku siapkan minit mesyuarat untuk mesyuarat JKKK esok.

Siap print aku on line. Ada massage dan rakan baru dalam fb. Rakan lama yang tak terlupakan. Terimakasih bebanyak.

Hujan terus turun renyai-renyai, bukak blog la pulak lama tak buat posting. Tulis jer lah buat isi masa lapang dari duduk melahu ni.... hujan terus turun dan yang pasti esok aku cuti sebab mesyuarat JKKK dan kalau hujan terus turun lagi aku pun cuti lagi.......... bila keje nak siap.........

Ahad, 12 September 2010

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Hari raya dah nak masuk hari keempat. Masih belum terlewat untuk aku menghulur tangan, menyusun sepuluh jari memohon ribuan kemaafan kepada semua sekiranya aku serta keluargaku pernah melakukan apa-apa kesilapan dan kesalahan samada kami sedari atau tidak dan yang mana termakan dan terminum tu mintak dihalalkan juga.
Tahun ni 1 syawal jatuh pada hari jumaat, maka aktiviti pagi 1 syawal menjadi amat padat. Seawal 6.30 pagi aku dah berkunjung ke pusara emak, abah, atok dan kakak. Balik dari tanah wakaf aku sekeluarga bersarapan sebelum ke masjid untuk solat sunat aidilfitri. Balik dari masjid kami berkumpul dirumah abang bersama adik beradik yang lain, cuma yang tidak ada kak ngah ngan suami dia. Itu pun disebabkan abang iparku tu menjalani pembedahan mata. Walaubagaimanapun anak-anak mereka telah sampai awal bersama adik bongsuku. Seterusnya aku, abang, adik dan anak-anak buahku yang lelaki bergerak ke rumah Haji Abas untuk aktiviti marhaban.
Disebabkan masa yang begitu terhad maka kunjungan dibuat secepat mungkin dengan bacaan selawat yang diringkaskan. Jam 12.00 tengah hari kami telah pun sampai ke rumah terakhir. Blok-blok lain juga mengadakan program marhaban pada pagi itu kecuali Kg. Agas dan Kg. Gajah I yang diadakan di sebelah petang.
Hari kedua giliran kaum wanita untuk membuat kunjugan marhaban, jadi tugas aku pulak duduk kat rumah. Menjelang tengah hari mereka telah pun selesai. Aku merasakan program ini amat perlu diteruskan kerana ianya dapat menjalinkan dan mengeratkan ikatan silaturrahim sesama jiran tanpa mengira usia . Percayalah jika tiada program sedemikian amat sukar untuk kita berkunjung kerumah jiran tetangga walaupun dimusim hari raya ini. Program ini juga dapat menemukan kembali anak-anak diperantauan yang sememangnya sukar untuk bertemu lantaran kesibukan kerja masing-masing. Walaupun ianya tidak semeriah marhaban dikampung-kampung tradisional namun ianya cukup bermakna bagi membangkitkan semangat aidilfitri itu sendiri. Disamping ianya juga dapat menggamit generasi baru terutamanya anak-anak kecil untuk pulang berhari raya dikampung.
Salam Aidil Fitri - Maaf Zahir Batin

Rabu, 25 Ogos 2010

Adusss.......

Hari ni bila aku keluar jer rumah aku tengok bulan mengambang penuh di ufuk timur menandakan bulan puasa dah masuk setengah bulan. Itu juga bermaksud hari raya cuma tinggal setengah bulan jugak. Cepatnya masa berlalu.
Semasa menuju ke kedai aku lihat ada rumah yang telah memasang pelita. Amboi cepatnya nak beraya. He he ni bukan nak sambut malam tujuh likur ni. Malam lima belas likur kot. Sebut pasal pelita raya ni aku memang dah lama tak pasang pelita raya. Satu, aku malas nak isi minyak. Dua, kalau hari hujan dan tak sempat nak angkat atau sekarang ni diorang 'cover' guna botol air mineral yang kecil dipotong separuh. Bila sumbu dia basah pelita tak hidup. Kena tukar sumbu atau jemur bagi dia kering. Tiga, minyak tanah sekarang ni lebih mahal dari petrol. Jadi untuk bahan bakar terpaksa guna minyak diesel. Berjelaga. Dan yang keempat sebab aku guna pelita elektrik.
Apa yang best, satu, sekali petik hidup semua. Dua, pelita aku boleh hidup dalam hujan. Tiga, angin ribut pelita ku tak mati. Empat yang paling best, bebudak tak boleh bakar bunga api dan mercun guna pelita aku. Wakaka... Opsss ada satu lagi, mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Semakin dekat nak raya ni semakin banyak sumbangan untuk anak-anak yatim, fakir miskin, OKU dan tak lupa juga ibu-ibu tunggal. Hari semalam majlis penyerahan sumbangan kepada golongan berkenaan oleh pihak Selia Selenggara yang diadakan di Masjid Jamek As-Solihin Felda Bukit Permai. Semoga sumbangan berkenaan dapat meringankan sedikit bebanan serta menceriakan golongan berkenaan.
Semakin dekat nak raya ni juga, jangan lupa tanggung jawab untuk membayar zakat fitrah. Untuk warga Johor yang makan Beras Nasional kadar zakat fitrah adalah RM 5.00 manakala yang makan beras selain dari Beras Nasional, kadar zakat fitrah adalah RM 7.50. Jangan tunggu hingga saat-saat akhir kot terlupa nanti dek sibuk buat persediaan raya, tergantung amalan puasa kita.
Hari ni pulak ada gangguan bekalan air dari jam 9.00 malam hinga 9.00 pagi esok. Entah bila notis gangguan ni diedarkan aku pun tak tahu. Apa yang aku tahu jam 10.00alam bila aku buka paip air untuk cuci cawan, air dah tak ada. Aduss... aku tak simpan air pulak tu. Haru betul. Aku tanya kenkawan yang ngeteh kat kedai aku, diorang pun tak tahu ada ganguan ni. Biasanya notis dihantar terutamanya di kedai-kedai dan dilekatkan di papan kenyataan, tapi bila aku tanya kedai bersebelahan, jawapannya pun sama. Tak tahu. Ni mesti ada yang tuang kerja. Tak sampaikan amanah dan menyusahkan ramai orang. Hu hu besok ler jawabnya aku basuh cawan tu....... ADUSSSS.

Jumaat, 6 Ogos 2010

Sekadar catitan

Sememangnya masa berlalu begitu pantas dan sememangnya tidak terdaya untuk kita mengejarnya. Demikian juga tak terasa telah lebih sebulan aku tidak menjenguk blog aku ni. Aktiviti dikampung berjalan seperti biasa cuma aku yang kekadang terlepas untuk sama-sama menyertainya.
Masjid As-Solihin Felda Bukit Permai diiktiraf antara yang terbaik
Antara yang menarik dan rasanya paling manis kejayaan masjid jamek Felda Bukit Permai masjid As-Solihin termasuk didalam 10 buah masjid terbaik rancangan Felda seluruh Malaysia. Tahniah kepada pengerusi badan masjid Tn Hj. Raja Ahmad Bin Raja Chah atau Pak Raja diatas pengiktirafan tersebut. Mungkin tidak ramai yang menyedari adanya pertandingan tersebut tapi itulah hakikat yang perlu kita akui disaat kita sibuk ada lagi insan yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk mengharumkan nama kampung kita ini. Tahniah juga kepada mereka yang bertungkus -lumus bergotong-royong mengindahkan kawasan masjid.
Hari terbuka PJK Bukit Permai
Kepada Bro Haris dan Khir tahniah kerana berjaya menganjurkan hari terbuka PJK Felda Bukit Permai. Maaf kerana aku tak dapat hadir disebabkan kesibukan tugas baru aku yang sukar untuk dibuat perancangannya. Sebagai percubaan pertama memang terdapat sedikit sebanyak kekurangannya namun itu merupakan satu permulaan yang baik. Tahniah.
Serangan Ganoderma
Baru-baru ini dalam mesyuarat JKKK pihak pengurusan felda telah mengarahkan kepada ketua-ketua blok untuk memanjangkan kepada pemilik ladang sawit untuk memandakan pokok-pokok sawit yang diserang cendawan ganoderma. Sememangnya ancaman cendawan ini semakin serius jika tidak dikawal secepat mungkin. Pokok-pokok yang telah diserang cendawan ini biasanya boleh dikenalpasti dengan pelepahnya yang terkulai dan akhirnya batang pokok berkenaan akan patah.
Pokok-pokok yang dikenalpasti diserang oleh cendawan ini haruslah ditandakan dengan melilit plastik merah-putih dan kuantitinya di berikan kepada ketua blok masing-masing supaya pihak felda boleh menguruskan untuk memusnahkan pokok-pokok tersebut. Segala perbelanjaan untuk memusnahkan pokok-pokok berkenaan akan ditanggung oleh felda melalui insuran ladang.
Tanah generasi kedua
Kepada pemohon-pemohon tanah yang masih belum menjelaskan bayaran premium tanah berkeaan hendaklah menjelaskannya secepat mungkin. Walaupun pihak ketua kampung telah memohon untuk melanjutkan tempoh untuk tiga bulan lagi bukan bermakna ianya boleh dibuat sambil lewa sahaja kerana ianya akan turut menjejaskan perjalanan proses seterusnya iaitu untuk kerja-kerja mengukur tanah dan pengeluaran surat hak milik.
Kita perlu menyegerakan proses untuk mendapatkan surat hak milik kerana ianya amat penting dalam proses untuk membangunkan kawasan berkenaan. Bagi yang mampu mungkin tidak akan mendatangkan apa-apa masalah tetapi bagi yang kurang mampu surat hak milik berkenaan amat penting untuk dijadikan sandaran bagi memohon apa-apa bantuan.
Mesyuarat Agong dan Hari Anugerah Cemerlang Sek. Agama As-Solihin Felda Bukit Permai
Sabtu 7hb. Ogos 2010 merupakan hari Anugerah Cemerlang 2009 dan Mesyurat Agong kali ke-9 Sekolah Agama As-Solihin Felda Bukit Permai. Kepada ibu-bapa dapatlah sama-sama meluangkan masa untuk sama-sama menghadiri majlis berkenaan.

Selasa, 22 Jun 2010

Ahhh Tensionnya......

Salam semua, dah lama aku tak updatekan blog ni. Ntahkan sibuk, ntahkan lupa, ntah yer. Kisah tanah plot generasi kedua terus menjadi bahan yang kadangkala kedengaran hangat dibahaskan. Pejam celik, pejam celik tempoh tiga bulan yang diperuntukan untuk pembayaran premium kian hampir kepenghujungnya. Memang tak terasa masa berlalu begitu cepat.
Hari ini aku didatangi seorang hamba Allah yang juga merupakan seorang kawan yang membawa masalahnya yang tersendiri mengenai tanah ini. Beliau tidak berpuashati dengan keputusan undi lot yang beliau dapati tempoh hari. Kisahnya beliau sanggup turun naik ke pejabat tanah dan ke pejabat YB untuk menukar tapak lot tersebut. Apabila keputusan yang dibuat tidak memuaskan hati, beliau datang kekedai aku dan mengadu masalahnya.
Maaf bro, kalau kata-kata aku memang menyakitkan hati. Memang perinsip aku kalau kamu datang secara baik akan aku sambut secara baik juga. Aku bukan sesiapa. Kehadiran aku disini hanya sekadar untuk membantu. Aku bekerja secara sukarela. Aku korbankan masa secara sukarela dan tidak meminta balasan dan tidak juga meminta ihsan. Bila-bila dan siapa juga boleh melakukannya dan aku tidak akan dan tidak ingin untuk menghalang. Silakan.
Aku memang kecewa dan kesal dengan sikap yang beliau tunjukkan. Apakah dengan berjumpa dengan YB dan ke Pejabat Tanah bersendirian mengadu ketidakpuasan hati dan ingin menukar tapak yang telah diundi dirasakan sesuatu yang betul. Peduli apa dengan orang lain yang tidak berpuas hati dengan lot yang mereka dapat tetapi akur dengan keputusan itu. Mereka hendak mereka buatlah sendiri. Ini hak aku dan aku tidak berpuas hati. Mudah sungguh kata-kata yang dilafazkan seperti hanya kamu berhak atas segalanya. Sedikit pun kamu tidak menoleh kepada saudara-saudaramu yang lain yang sama-sama mengisi borang, sama-sama pergi temuduga dan sama-sama mengundi. Bodohkah mereka kerana akur dengan keputusan undi? Dan apabila layanan yang kamu terima untuk permohonan kamu tidak seperti yang dijangkakan mengapa mengadu kepada kami. Mengapa nak mempertikaikan jawatankuasa pengelola.
Sudah aku jelaskan berulang kali kehadiran kami sebagai jawatankuasa pengelola hanya setakat majlis undi plot dan untuk seterusnya perlu ada jawatankuasa yang dilantik oleh pemohon-pemohon sendiri, kerana jawatankuasa ini perlu mandat dari semua untuk membuat keputusan. Kalau sesiapa merasa perjalanan ini lambat mengapa tidak mereka sahaja yang memulakannya. Tidak ada masa? Bukan kerja aku? Dan seribu satu alasan akan timbul. Kalau begitu kami bagaimana? Fikirkanlah. Sesuatu keputusan yang kita buat bukan hanya untuk kita sendiri tapi melibatkan semua. Semua orang ada hak yang sama. Kalau sesiapa mempunyai idea dan pendapat kongsilah bersama untuk kebaikan bersama dan bukan hanya menyalahkan orang lain untuk kepuasan sendiri.
Kepada sesiapa yang telah dapat menjelaskan bayaran tersebut tahniah. Kepada yang belum semoga kita sama-sama dapat menjelaskannya sebelum tarikh akhir yang ditetapkan. Kepada yang tidak berpuas hati dengan kedudukan lot yang didapati bawa-bawalah berbincang secara mesyuarah bukan secara individu. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan, cuma apakah cara yang terbaik untuk mengatasinya.