BLOGGER TEMPLATES AND Friendster Layouts »

Dari aku

Monggo mampir..... ada berita yang ingin disampaikan, ada cerita yang ingin dikongsi, ada maklumat yang mungkin berguna atau mungkin sekadar sembang-sembang kosong mengisi masa lapang dari catatan aku yang berada di kampung buat sahabat dan teman-teman diperantuan. Semoga dalam kesibukan kerja seharian dapat sejenak melepas kerinduan.

Isnin, 18 Julai 2011

Terima kasih kepada semua

Satu pagi minggu sewaktu bersarapan di warung Sahar aku berborak dengan Jai. Lama tak update blog katanya. Heh heh memang dah lama aku tak buat posting kat blog ni. Idea tak berapa nak datang kot. Senarai JKKK pun aku tak kemaskini. Haji Satari telah dilantik secara rasmi menjadi ketua blok bagi Kampung Baru 1 manakala Haji Muhamad Saad dilantik menjadi ketua blok bagi Kampung Agas. Sdr. Zakaria Kalid masih kekal memegang jawatan Pengerusi Biro Pendidikan.

Alhamdulillah, minggu lalu hari yang ditunggu telah pun tiba dan berjalan lancar walaupun pada petang Jumaat sebelumnya cuaca hujan namun pada hari berlangsungnya program cuaca amat baik. Bukan maksud aku mengatakan hujan itu tidak baik cuma cuaca yang cerah itu sesuai untuk menjalankan aktiviti luar seperti yang dirancangkan.



Kini hampir seminggu berlalu, namun laman FB warga Felda Bukit Permai masih meriah dengan gambar-gambar dan komen-komen berkenaan hari peneroka . Tak sangka cubaan jawatankuasa penganjur untuk mengubah format program sebelah malam dariapada acara karaoke seperti kebiasaannya kepada acara pertunjukan bakat (talentime) boleh dikatakan amat memuaskan. Perubahan format ini dilakukan bertujuan untuk memberi peluang kepada lebih ramai warga Bukit Permai mengambil bahagian kerana sekiranya acara karaoke dijalankan hanya segolongan warga yang terbabit. Pesertanya pula tidak banyak beza dengan setiap tahun dan lebih mendukacitakan kemenagan juga boleh diramal. Apa yang lebih penting sekiranya lebih ramai peserta yang mengambil bahagian dengan tidak secara langsung akan menarik lebih ramai warga Bukit Permai untuk keluar memberi sokongan.



Pelbagai ragam persembahan yang dipertontonkan antaranya nyanyian lagu kuda hitam diiringi dengan tarian kuda kepang oleh kampung tengah 1, sketsa dan boria irama 60an oleh kampung tengah 2, persembahan oleh kampung agas dengan peralatan muzik yang pelbagai antaranya besin, baldi, jidur mengiringi persembahan nyanyian dan gelek Kamal, persembahan sketsa dan sajak oleh Kampung Baru 1 dan pertama kalinya warga emas seperti Hj. Satari yang juga merupakan ketua blok kampung tersebut turut mengambil bahagian dalam program sebegini. Kampung Baru 2 tidak kurang hebatnya dengan persembahan beramai-ramai dan sememangnya ramai kerana penuh satu pentas termasuk juga MC pada malam tersebut Sdr. Eddy turut berlari kepentas untuk turut bersama kampunya. Kampung Gajah 1 yang merupakan pemenang pertama pada malam tersebut sememangnya tidak boleh dipertikaikan dengan pelbagai persembahan tarian almaklumlah guru tarian zapin orang kampung tu. he he...



Kampung Gajah 1 tak mahu kalah memang lain dari yang lain persembahan biasa tetapi dibuat berbeza kerana orang perempuan melakonkan watak lelaki dan orang lelaki melakonkan watak perempuan dan diikuti dengan persembahan sajak. Kampung Balairaya walaupun cuma miming tetapi menghiburkan dengan gelek Kang Leman bersama Julie membawakan lagu Sohaimi Mior Hasan dan Ana Rafali - Kalau Berpacaran. Terkekeh-kekeh adik-adik kat depan pentas menonton aksi setan berbaju merah berwajah lonjong. Tak takut pon.... bako dia bako.....



Program kali ini juga julung-julung kalinya kerja-kerja persediaan dan perjalanan program diserahkan kepada blok-blok untuk dilaksanakan. Alhamdulillah setiap blok memberikan komitmen yang baik kepada tugasan yang diberikan. Insya Allah selepas ini sekiranya Bukit Permai diberikan tugasan untuk menganjur program yang lebih besar penduduknya telah cukup sedia.



Pertandingan khemah kampung masih boleh diperbaiki. Apa yang JKKK dan pengurusan harapkan sebenarnya setiap blok mengambil peluang ini untuk memperkenalkan produk-produk keluaran kampung masing-masing untuk dipamerkan. Khemah ini juga sepatutnya dibuka kepada semua pengunjung kerana tujuan utamanya untuk mempamer, memperkenal serta menjual produk keluaran ahli dan bukan hanya dibuka kepada tetamu undangan sahaja. Biarlah susah payah kita menghias khemah ada manfaatnya dan tidak hanya untuk mendapat hadiah itupun sekiranya bernasib baik dan kemudian bersusah payah pula untuk mengemasnya tanpa mendapat apa-apa hasil darinya. Biarlah kita kalah tetapi kita dapat memperkenalkan hasil usaha ahli kita dan keuntungannya lebih bersifat berpanjangan.



Seperti biasa acara sukaneka sememangnya ditunggu-tunggu. Bukanlah hadiah yang dikejarkan kerana hadiah yang disediakan tidaklah seberapa. Apa yang lebih penting ialah persefahaman dan kerjasama kita antara ahli blok dan warga Bukit Permai keseluruhannya dapat kita eratkan. Biarlah kita seronok bila menang dan seronok juga bila tengok orang lain menang. Tidak ketinggalan acara tarik tali tak sangka pulak kampung aku Kg. Tengah 2 jadi juara. Lama tak menjerit sampai serak suara aku dibuatnya. Hu hu dapat ayam sepuluh ekor sumbangan Amat Kopak.



Ketibaan YB Kamaruzaman dengan menaiki motorsikal berkuasa tinggi bersama rombongannya dari Putra Bikers memang tidak aku jangkakan dan tidak dimasukkan dalam aturcara. Mungkin kerana menaiki motorsikal rombongan beliau tiba lebih awal dari yang dijadualkan. Mujur juga terdapat kawasan yang sememangnya dikosngkan ditengah-tengah dataran maka dapatlah mereka meletak motorsikal mereka di situ. Mujur juga YB tidak terlalu formal pada hari tersebut dan segalanya dapat disusun semula termasuk acara tarik tali antara juara tarik tali dengan ahli Putra Bikers. He he minta maaf jer lah kita orang mengelat sikit.... tak aci ler orang dah tarik banyak kali suruh lawan ngan orang yang lom tarik... Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Kulaijaya selaku wakil rasmi Pegawai Daerah dan Penghulu Mukim Sedenak En. Hamdan Yahya.



Majlis yang ditunggu-tunggu iaitu pengumuman pemenang pertandingan AKKF yang dijuarai oleh Kampung Gajah 2, Naib Johan Kampung Balairaya dan Ketiga Kampung Gajah 1. Tahniah. Majlis berakhir sekitar jam 7.00 petang.



Terima kasih kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung juga kepada penderma-penderma yang telah menyumbangkan hadiah dan hamper cabutan bertuah. Tidak lupa kepada kawan-kawan yang sama-sama menyumbang tenaga secara sukarela. Tanpa sokongan dan bantuan semua kita tidak akan dapat menjalankan program seperti yang dirancangkan. InsyaAllah tahun hadapan jika ada kesempatan kita sama-sama rancangkan program yang lebih baik lagi.



Terima kasih semua.

0 ulasan: